Ini Cara Untuk Selesaikan Hutang Kad Kredit Yang Tertunggak. | ERA BARUS : Rakyat Malaysia memang suka berhutang. Ada hutang terpaksa, ada hutang saja-saja, ada hutang untuk gali lubang tutup lubang. Kalau nak tahu, hutang kad kredit tertunggak boleh menyebabkan seseorang itu bankrap.
Berdasarkan statistik yang diperolehi daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, hutang kad kredit tertunggak berada di tempat kelima dalam senarai kes kebankrapan selepas pinjaman peribadi, sewabeli kenderaan, pinjaman perniagaan dan pinjaman perumahan.
Hari ini, berbelanja menjadi cukup mudah dengan adanya kad kredit. Kita hanya perlu ‘wave’ saja ketika membeli-belah dan hanya risaukan tentang membayarnya di kemudian hari.
Ada yang terus-menerus berhutang dan hanya membuat bayaran minimum setiap bulan, mengeruhkan lagi keadaan. Ini mengakibatkan hutang kad kredit tertunggak yang tiada berpenghujung.
Dah tahu bahaya kad kredit? Sekarang kita tengok pula cara untuk mengatasinya.
7 Langkah Nak Selesaikan Hutang Kad Kredit Tertunggak
1. Henti guna kad kredit sehingga anda bayar habis
Tahukah anda bahawa kadar faedah kad kredit adalah sangat tinggi, iaitu 15% ke 18% setahun?
Apa kata anda potong saja kad kredit, batalkan perkhidmatan kad kredit dengan pihak bank, sehinggalah anda berjaya bayar hutang kad kredit tertunggak sepenuhnya.
Gunakan kad debit untuk membuat pembelian, ini mampu mengelakkan diri daripada berbelanja di luar kemampuan.
2. Susun dengan teratur dan buat keutamaan
Sekiranya anda mempunyai beberapa kad kredit dengan beberapa buah bank yang berbeza, susun mengikut kad kredit dengan kadar faedah yang tertinggi.
Utamakan untuk bayar hutang kad kredit tertunggak dengan kadar faedah yang tertinggi terlebih dahulu.
Satu tip untuk anda, kadar faedah kad kredit yang dikeluarkan bank tempatan pada kebiasaannya lebih rendah daripada bank luar negara.
3. Jangan bayar amaun minima
Saya perasan bahawa ramai orang hanya membayar minimum 5% daripada penyata kad kredit mereka setiap bulan.
Sekiranya anda berhutang sebanyak RM10,000, dengan hanya membuat bayaran minimum (RM500), pembayaran balik akan selesai dalam tempoh 88 bulan. 7 tahun lebih juga nak habis bayar.
Tetapi sekiranya anda bayar lebih sedikit iaitu RM600 sebulan, tempoh bayaran balik akan menjadi lebih pendek iaitu 20 bulan. Jangan pandang rendah kuasa compounding dalam pembayaran hutang kad kredit tertunggak.
4. Pelan pemindahan baki kad kredit
Beri perhatian kepada promosi atau tawaran daripada bank mengenai pelan pemindahan baki kad kredit. Anda boleh memindahkan baki hutang kad kredit tertunggak daripada kad kredit sedia ada kepada kad kredit baru.
Cara ini membolehkan anda menggabungkan beberapa hutang kad kredit kepada hanya satu saja, memudahkan anda untuk menguruskannya. Anda juga boleh mengambil manfaat daripada kadar faedah yang lebih rendah, bermakna anda akan bayar kurang berbanding kad kredit sedia ada.
5. Pinjaman peribadi daripada bank
Gunakan perbezaan di antara kadar faedah pinjaman peribadi dan kad kredit, di mana kadar faedah pinjaman peribadi adalah sekitar 5% ke 8%. Sedangkan kadar faedah kad kredit pula di antara 15% ke 18%.
Sekiranya anda berjaya memperolehi pinjaman peribadi dengan kadar 5%, banyak dapat berjimat berbanding membayar kad kredit dengan kadar 18%.
6. Dapatkan bantuan AKPK (Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit)
Masih ramai yang tak tahu bahawa AKPK boleh bantu anda mengurus hutang. Ini adalah peluang bagi mereka yang bergelumang dengan hutang kad kredit tertunggak dan risau tidak mampu nak bayar balik.
AKPK akan bantu anda mengeluarkan diri daripada hutang, dan memberikan pelan yang khusus untuk anda. Mereka juga boleh bantu anda bina semula kredit dan menawarkan khidmat nasihat kewangan secara percuma.
7. Kawal aliran tunai dan tabiat belanja
Buatlah belanjawan dan urus aliran tunai anda setiap bulan. Ada banyak aplikasi yang boleh bantu anda menjejak perbelanjaan peribari bagi memahami corak perbelanjaan dan cari jalan untuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak sepatutnya.
Sebagai contoh, cuba kurangkan kekerapan anda makan di luar atau pergi menonton wayang, atau tetapkan masa untuk membeli-belah.
Saya dapati ramai anak muda yang mempunyai tabiat membeli-belah di atas talian setiap hari. Mereka berkata, “Saya hanya belanjan RM20 saja”, tetapi RM20 tersebut meningkat menjadi RM600 setiap bulan.
Selepas memerhati aliran tunai anda untuk beberapa bulan, anda mungkin mendapati bahawa perbelanjaan anda mengatasi pendapatan. Sekiranya tidak mampu untuk mengurangkan perbelanjaan, ini bermakna anda perlu menambah pendapatan.
Buatlah kerja-kerja part-time atau mula berniaga secara online. Apabila perbelanjaan meningkat, anda boleh bayar hutang kad kredit tertunggak dan hidup dengan lebih tenang.
JOM MELANCONG KE VIETNAM : Boleh tekan Pakej Vietnam untuk lihat pakej-pakej yang disediakan.