Menabung

6 Cara Didik Anak Supaya Celik Tentang Kewangan.

2024-02-15

6 Cara Didik Anak Supaya Celik Tentang Kewangan. | ERA BARUS :  Seperti kebanyakan kemahiran asas hidup, pendidikan kewangan perlu diajar sejak kecil. Ia sebagai persediaan untuk anak-anak menghadapi dunia dewasa terutama dengan situasi ekonomi yang semakin mencabar pada masa depan.

kewangan

Di sini kami berkongsi enam tips untuk membantu para ibu bapa mendidik anak menjadi celik kewangan sejak kecil.

  • Berbual tentang kewangan

Kebanyakan ibu bapa tidak bercerita tentang kewangan keluarga di hadapan anak-anak. Namun, untuk memupuk kecelikan kewangan, lebih baik kalau kita mula mendedahkan tentang pengurusan kewangan pada awal usia anak-anak.

Anda boleh berbual tentang pembelian rutin seperti makanan, belanja pendidikan, pengangkutan dan percutian. Bincangkan juga perbezaan antara keperluan dengan kehendak. Ketika anak masih kecil, anda boleh bawa mereka membeli-belah, ajarkan tentang label harga dan gunakan pembayaran tunai berbanding digital. Sebab wang boleh dilihat, kanak-kanak lebih mudah belajar begitu.

  • Perkenalkan anak kepada wang

Anak-anak boleh diperkenalkan kepada wang sebaik sahaja mereka mampu mengira. Tunjukkan wang kertas dan syiling serta diajarkan mereka nilai setiapnya. Mahu lebih seronok, cipta permainan melibatkan wang bagi memudahkan mereka memahami nilai wang dan mengira baki.

  • Didik anak hasilkan belanjawan

Membuat belanjawan boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan, bergantung kepada pendekatan pengajaran. Anda boleh menghasilkan carta yang berwarna-warni dengan kolum wang masuk dan wang keluar. Anda juga boleh menyediakan beberapa tabung untuk mereka mengasingkan wang, seperti tabung belanja, tabung hadiah dan simpanan.

  • Ajar anak menyimpan sejak kecil

Penting untuk mengajar anak-anak bahawa wang yang mereka peroleh, tidak semestinya perlu dibelanja kesemuanya. Lebih baik jika dapat mengajar mereka untuk menetapkan matlamat simpanan. Mungkin ini masanya untuk anda memperkenalkan kepada anak-anak akaun simpanan digital memandangkan pada masa hadapan, mereka akan menggunakan perbankan dalam talian. Boleh baca cara menyimpan secara digital di sini.

Apabila sudah ada simpanan, anda boleh memperkenalkan mereka dengan penyata bulanan dan menjelaskan bagaimana akaun tersebut membesar disebabkan deposit dan keuntungan faedah. Untuk anak yang lebih dewasa, galakkan mereka menyimpan untuk sesuatu yang mereka mahukan, seperti basikal atau telefon bimbit.

  • Usaha tangga kejayaan kewangan

Jika anak anda mahukan sesuatu, seperti basikal atau telefon bimbit, didik mereka untuk berusaha mendapatkan wang sendiri. Bukanlah sampai ke tahap anak anda jadi buruh kanak-kanak. Ibu bapa perlu mengajar mereka untuk membuat kerja kecil-kecilan atau menjual sesuatu. Masih ingat mengenai kisah kanak-kanak yang tular apabila menjual lukisannya di hadapan rumah?

Anda juga boleh beri ganjaran untuk kerja rumah yang mereka buat. Beri sedikit upah dan ajar mereka menyimpan sedikit demi sedikit.

  • Berbelanja, tapi jangan berlebihan

Ini yang paling seronok. Apabila anak anda telah menyimpan dengan cukup, izinkan mereka berbelanja dengan wang tersebut. Namun, perlu menasihatkan mereka supaya jangan berbelanja berlebihan. Ini fungsi belanjawan yang diajarkan sebelum ini. Ingat, jangan terlalu mengawal perbelanjaan mereka. Jika anak anda sudah cukup matang, biar mereka tentukan sendiri perbelanjaan, anda hanya perlu memantau.

Pengetahuan kewangan sejak usia muda dapat membantu anak-anak untuk mengetahui nilai wang serta kepentingan mempunyai disiplin kewangan. Malaysia masih ketinggalan dalam pengetahuan kewangan berbanding negara moden. Itu antara sebab, ramai golongan muda yang berusia kurang 34 tahun menjadi muflis kerana gagal menguruskan kewangan mereka dengan baik. Pendidikan awal kewangan adalah jalan keluar kepada masalah muflis.

Jika anda nak tahu tempat percutian yang menarik boleh ke website kami : TEMPAT PERCUTIAN

Artikel Lain